Tuesday 17 June 2014

Merah Itu Darah -Prolog

Lisa, tahu kan kenapa baba dan mama bantah keputusan Lisa?” aku yang masih menangis lagi kerana keputusanku ditolak bulat-bulat hanya membatukan diri. Cuba untuk protes tentangan mereka. Tangan kak Maria, mengusap lembut di belakangku menenangkan sedikit perasaan aku yang berkecamuk.

Lisa masih terlalu muda untuk menanggung tanggungjawab sebagai seorang isteri. Terlalu singkat Lisa berkawan dengan Malek untuk Lisa mengenal hati budinya” tangan kak Maria masih tidak jemu mengusap belakangku. Merasasakan sedikit amarah kerana teman lelakiku dipandang serong, aku menepis tangan kak Maria. “Malek lelaki yang baik kak, Lisa yakin dia akan menjaga Lisa sebaiknya” Kolam air mata aku yang hampir kering dibanjiri lagi dengan air mata, cuba untuk menagih sokongan daripada kakak kandungku supaya berpihak kepadaku.

Lisa sayang, yakin sahaja tak mencukupi. Akak tahu kamu berdua saling mencintai, tapi restu orang tua sangat penting. Buruk akibatnya kalau ibu bapa tak redha dengan anak mereka.” aku yang cuba bersuara terdiam apabila jari kak Maria berada di mulutku. “Perkahwinan bukan di antara suami dan isteri tapi turut melibatkan keluarga, Lisa. Jodoh bukan di tangan kita dik, kita hanya mampu merancang. Malek pun dah terima tiada jodoh antara kamu. Lisa pun harus redha dengan ketentuan ini.” Aku hanya mampu menangis bagaikan anak kecil di dalam pelukan kak Maria yang cuba menenangkanku.

Akhirnya dengan penentangan kedua baba dan mamaku, serta Malek yang menarik diri, perkahwinan yang kami impikan bersama musnah sama sekali. Malek ditolak kerana kedudukannya tidak setaraf dengan keluargaku.

Ironinya, selang setahun kemudian kak Maria telah bertemu dengan seorang lelaki yang tidak setaraf dengan dirinya dan ingin menjadi isterinya. Pertemuan yang singkat itu di antara mereka menjadikan kak Maria berubah daripada seorang wanita yang mendengar kata, bertimbang rasa dan mengambil berat menjadi kepada seorang wanita mementingkan diri sendiri dan kejam apabila sanggup dibuang keluarganya apabila dia berkeras ingin menjadi isteri lelaki itu sekalipun mendapat tentangan baba dan mama. Semenjak dari hari itu, masih bermain di fikiran aku bagaimana kak Maria melangkah keluar dari rumah baba dan mama dan tidak kembali lagi. Bertahun baba dan mama memendam rasa akibat perbuatan kak Maria.

Aku yang hanya mengetahui berita kak Maria ingin berkahwin walaupun dibuang keluarga bergegas pulang ke rumah. Kedegilan kak Maria begitu kuat, tak mampu aku mencairkannya. Dan kesudahannya kak Maria melangkah keluar dari rumah kami. Aku pernah bertanya kepada baba dan mama, mengapa kehendak kak Maria tidak dituruti, mereka mengatakan mereka tidak mahu menerima lelaki yang tidak setaraf dengan darah keturunan raja yang diwarisi, walaupun terpaksa membuang kak Maria.

Dua tahun tidak mendengar khabar berita dari kak Maria, kami dikejutkan dengan berita kematian kak Maria akibat kemalangan jalan raya. Kami bergegas ke Malaysia untuk melihat keadaan kak Maria. Tiada siapa yang menunggu jenazah kak Maria, tiada suaminya di situ walaupun dia sanggup dibuang keluarga kerana lelaki itu.
 
Kak Maria hanya meninggalkan sepucuk surat kepada kami, meminta ampun terhadap tindakannya yang banyak melukakan hati kami. Kami hanya mampu mendoakan yang terbaik buat kak Maria, semoga dicucuri rahmat kepadanya. Baba begitu marah apabila mengetahui yang suami kak Maria telah menghilangkan diri, meninggalkan kak Maria keseorangan semenjak dua bulan lalu. Baba bertegas tidak akan menerima suami kak Maria, walaupun sebelum itu kami telah membuat keputusan untuk menerima kak Maria dan suaminya kerana rindunya kami kepada kak Maria.

Kami membuat keputusan untuk terus menetap di Malaysia, memandangkan jenazah kak Maria ditanam disini dan tiada apa lagi yang berada di Perth, melainkan kenangan bersama kak Maria.
 
Maria....Maria”, nama itu bagaikan merentap semangatku dan mengembalikan aku ke alam nyata. Terlihat aku seorang ibu sedang memujuk anaknya yang sedang menangis. Hampir lagi mataku menitiskan air mata. Rajukku hanya kak Maria yang setia memujuk, tapi rajuk kak Maria tak daya aku memujuknya. Kak Maria, adakah Lisa seorang adik yang baik? . Kak Maria, rindunya Lisa. Diam tak diam hampir tiga jam aku melayan kenangan di tepi taman permainan ini, tempat kesukaan aku dan kak Maria untuk menghabiskan masa.

Setahun sudah berlalu sejak kembalinya kak Maria kepada penciptanya, kehidupan kami mula berjalan kembali seperti biasa setelah masa yang berlalu mengurangkan kesedihan kami. Cuma sesekali disapa kenangan bersama kak Maria. Tapi kehidupan aku yang mula menjadi tenang sekali lagi berkocak apabila menerima surat daripada kak Maria yang ditujukan khas kepada aku. Kenapa setelah setahun berlalu baru surat ini diserahkan kepada aku dan mengapa hanya aku sahaja penerima surat ini membuatkan aku tertanya-tanya.  Aku kembali memandang surat yang belum dibuka itu di tangan aku, teragak-agak untuk membukanya. Ikutkan perasaan ingin tahu aku yang membuak-buak, mahu sahaja aku membacanya. Tapi, entahlah, aku sendiri tak tahu kenapa berat tanganku untuk membuka surat ini.